Minggu, 18 Mei 2014

Orang Mukmin Memiliki Cemburu yang Positif dan Tinggalkan Cemburu yang Negatif

Orang Mukmin Memiliki Cemburu yang Positif dan Tinggalkan Cemburu yang Negatif



Assalamu'alaikum wr. wb.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Perasaan cemburu merupakan fitrah semulajadi manusia. Perasaan cemburu ini timbul atas dasar percintaan antara pasangan. Cemburu terbahagi kepada dua, iaitu berasaskan keimanan dan cemburu berasaskan nafsu. Cemburu berasaskan keimanan akan membawa keharmonian dan kebahagiaan rumahtangga manakala cemburu atas dasar nafsu akan merosakkan rumahtangga.

Cemburu ada kesan positif dan negatif yg tersendiri..Sifat ini adalah naluri manusia yg sememangnya amat sukar dibendung dan ada pada dalam diri setiap insan yg bergelar manusia..Tapi berpada-padalah sebelum menurut rasa hati yang cemburu.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya sifat cemburu itu ada yang disukai Allah dan ada yang dibenci Allah. Dan di antara buruk sangka itu pun ada yang disukai Allah dan ada yang dibencinya. Cemburu yang disukai Allah ialah perasaan cemburu terhadap masalah yang patut dicurigai. Cemburu yang dibenci Allah ialah cemburu terhadap sesuatu yang tidak patut diragui. Buruk sangka yang disukai Allah ialah buruk sangka terhadap dirinya ketika dalam pertempuran. Buruk sangka yang tidak disukai Allah ialah buruk sangka yang bersarang dalam jiwa seseorang.
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Nasaei)

Seorang suami juga dituntut mengawal isterinya dari sebarang gejala buruk yang boleh merosakkan kehormatan dan nama baiknya. Lantaran itu dia digalakkan agar bersikap cemburu terhadap isterinya.

Sabda Rasulullah SAW. maksudnya:  “Sesungguhnya Allah cemburu dan seorang mukmin juga cemburu, dan cemburu Allah itu ketika seseorang hambaNya melakukan sesuatu yang diharamkan ke atasnya."

Cemburu adalah fitrah dan tabiat yang mesti ada dalam diri manusia, yang pada asalnya tidak tercela, selama tidak melampaui batas. Maka dalam hal ini, wajib bagi seorang muslim, terutama bagi seorang wanita muslimah yang dipoligami, untuk mengendalikan kecemburuannya. Kerana cemburu yang melampaui batas boleh menjerumuskan seseorang ke dalam pelanggaran syariat Allah, seperti berburuk sangka, dusta, mencela, atau bahkan kekafiran, iaitu jika kecemburuan tersebut menyebabkannya membenci ketentuan hukum yang Allah syariatkan.

Allah S.W.T.  berfirman,

{ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَرِهُوا مَا أَنزلَ اللَّهُ فَأَحْبَطَ أَعْمَالَهُمْ}

Maksudnya : “Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka benci kepada ketentuan (syariat) yang diturunkan Allah sehingga Allah membinasakan amal-amal mereka” (Surah  Muhammad ayat 9).

Cemburu paling hebat yang pernah terjadi dalam sepanjang alam ini wujud adalah cemburu iblis kepada Nabi Adam. Apabila Allah SWT menyuruh iblis sujud pada Nabi Adam, iblis enggan. Iblis merasakan dirinya lebih baik dari Nabi Adam a.s. Iblis cemburu kerana Allah SWT memberikan penghormatan yang begitu tinggi kepada Nabi Adam a.s. Akibatnya, iblis dicampak keluar dari syurga dan kini tempat tinggal abadinya adalah di dalam neraka.

Cemburu manusia yang pertama pula berlaku dalam kisah Habil dan Qabil yang merupakan dua orang putera Nabi Adam.

Qabil tidak puas hati apabila korbannya berupa buah-buahan yang kurang baik dan tidak ikhlas tidak diterima oleh Allah SWT sedangkan korban Habil dengan hati yang penuh ikhlas seekor kibas yang gemok dan sihat diterima oleh Allah SWT hingga menyebabkan Qabil rasa cemburu kepada Habil.

Qabil juga tidak puas hati dengan Habil kerana Habil akan dinikahkan dengan Iqlima (saudara kembar Qabil) yang jauh lebih rupawan dari Labuda (saudara kembar Habil). Kemuncak kepada kisah ini adalah apabila Qabil membunuh Habil. Ini kes cemburu pertama dalam sejarah manusia, dan cemburu pertama ini juga telah membawa kepada tragedi pertumpahan darah yang pertama di atas mukabumi ini.

Sahabat yang dimuliakan,
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tidak ada hasad (cemburu) yang dibenarkan kecuali terhadap dua orang; iaitu pada orang yang Allah SWT berikan harta, dia menghabiskannya dalam kebaikan. Dan pada orang yang diberikan ilmu dan dia beramal dengan ilmu tersebut dan mengajarkannya pula kepada manusia".

Demikian pula perlu diingatkan bagi kaum lelaki untuk lebih bijaksana dalam menghadapi kecemburuan para wanita, kerana hal ini juga terjadi pada diri wanita-wanita terbaik dalam Islam, iaitu para isteri Rasulullah S.A.W. Dan baginda menghadapi semua itu dengan sabar dan bijaksana, serta menyelesaikannya dengan cara yang baik.

Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani berkata, “Asal sifat cemburu adalah merupakan watak bawaan bagi wanita, akan tetapi jika kecemburuan tersebut melampuai batas dalam hal ini sehingga melebihi (batas yang wajar), maka itulah yang tercela.

Sebab-sebab yang mendorong timbulnya cemburu yang tercela (kerana melampaui batas) adalah:

1. Lemahnya iman dan lalai dari mengingat Allah S.W.T.

2. Bisikan dan godaan syaitan.

3. Hati yang berpenyakit

4. Ketidak-adilan suami dalam memperlakukan dan menunaikan hak sebagian dari isteri-isterinya.

5. Isteri hanya ikut emosi dan tidak berpandukan akal yang waras.

6. Suami suka menyebutkan kelebihan dan kebaikan seorang isterinya di hadapan isterinya yang lain.

Cara-cara untuk mengatasi kecemburuan ini adalah:

1. Bertakwa kepada Allah S.W.T.

2. Mengingat dan memperhitungkan pahala yang besar bagi wanita yang bersabar dalam mengendalikan dan mengarahkan kecemburuannya sesuai dengan batasan-batasan yang dibolehkan dalam syariat.

3. Menjauhi pergaulan yang buruk dan hasutan orang lain

4. Bersangka baik kepada suami dan madunya yang lain

5. Bersikap qana’ah (menerima segala ketentuan Allah S.W.T. dengan lapang dada).

6. Selalu mengingat kematian dan hari akhirat, hidup ini hanya sementara dan tidak perlu direbut hak-hak yang kecil di dunia ini.

7. Berdoa kepada Allah agar Dia menghilangkan kecemburuan tersebut.

Sahabat yang dimuliakan,
Imam al-Ghazali ada menerangkan di dalam kitab Ihya Ulumuddin bahawa manusia jenis yang kuat hasad dan cemburu ini, apabila diceritakan kepadanya kesenangan yang diterima oleh orang lain, hatinya akan jadi benci dan resah. Apabila dia mendapat tahu musuhnya ditimpa musibah dan nasib malang, hatinya akan menyanyi keriangan.

Cemburu pada orang lain bermaksud kita tidak gembira pada nikmat yang Allah SWT berikan kepada para hamba-Nya. Ini juga bermakna bahawa kita tidak reda pada takdir dan ketetapan Allah SWT. Jika kita sendiri tidak reda pada Allah, apakah mungkin bagi kita untuk mendapatkan keredaan Allah SWT? Dan jika Allah tidak reda pada kita, apakah mungkin ketenangan hati itu akan kita kecapi?

Imam Maulud , seorang ulama Sufi yang hebat, ada menerangkan bahawa untuk membersihkan hati (sekaligus mendapat ketenangan dan kedamaian jiwa), kita elakkan dari berasa cemburu pada kejayaan orang lain. Sebaliknya, jika manusia lain mendapat kebaikan dan rezeki yang lebih dari kita, kita doakan kebaikan dan kegembiraan untuk mereka. Hatta jika musuh kita yang mendapat kebaikan, jangan juga cemburu. Cemburu kepada musuh hanya akan menambahkan lagi penguasaan psikologi mereka ke atas diri kita.

Cemburu hadir sebab kita rasa kita lebih baik dan lebih mulia dari orang lain. Apabila kita ada persepsi sebegini, kita akan mudah merasakan bahawa dia dan mereka tidak layak untuk menerima nikmat tersebut. Kita sahajalah yang layak. Buang sifat sebegini dan tanamkan dalam hati dan minda bahawa orang yang lebih mulia di sisi Allah hanya diukur dari segi takwa. Dengan ini, di samping dapat membuang sifat cemburu, kita juga sekaligus dapat berlumba-lumba dengan manusia lain dalam meningkatkan taqwa kepada Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi,
Jika kita dapati ada dikalangan masyarakat kita suka berbuat maksiat tatapi hidup kaya raya . Tidak semestinya kekayaan itu diberkati Allah SWT. Kadang-kadang rezeki yang Allah SWT beri pada hamba-Nya adalah bersifat istidraj semata-mata.

Rasullulah SAW bersabda maksudnya : "Apabila kamu melihat Allah memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat, ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah".- (Hadith riwayat Imam at-Tabarani, Ahmad dan Al-Baihaqi).

Istidraj adalah nikmat yang Allah SWT berikan kepada orang-orang kafir dan fasik, tetapi dalam masa yang sama Allah hilangkan erti kesyukuran di dalam hati mereka, dan Allah membinasakan mereka secara beransur-ansur tanpa mereka sedari.

Oleh itu hendaklah kita sentiasa bersyukur dengan segala nikmat dan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT dan buangkan sifat cemburu yang negatif. Cemburu datang kerana kurang sifat syukur dalam diri. Kita selalu memikirkan dan berasa rungsing dengan apa yang masih tidak kita miliki. Kita cemburu pada orang lain yang ada apa yang kita mahu. Tetapi  kita tidak bersyukur dengan apa yang sedang kita miliki.

Maka, bersyukur dengan apa yang sedang kita miliki adalah kunci utama bagi membuang sifat cemburu dan sekaligus mendatangkan kebahagiaan di dalam hati. Semoga kita sentiasa mendapat rahmat Allah SWT di dunia dan akhirat.



Terima kasih untuk Admin I Love Allah SWT. and Prophet Muhammad SAW., atas izinnya untuk mengshare artikel ini. Semoga bermanfaat ya kawan.

Assalamu'alaikum everyone

0 komentar:

Posting Komentar